Sunday, April 13, 2008

JANGAN TUDUH & TUNTUT TANPA BUKTI!!!

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا أنَّ رَسٌوْلَ الله صَلىَّ الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قال: لَوْ يُعْطَى النَّاسُ بِدَعْوَاهُمْ لاَدَّعَى رِجَالٌ أَمْوَالَ قَوْمٍ وَدِمَاءَهُمْ لَكِنِ الْبَيِّنَةِ عَلىَ الْمُدَّعِى وَالُيَمِيْنُ عَلىَ مَنْ أَنْكَرَ- حَدِْيثٌ حَسَنٌ، رَوَاهُ الْبَيْهَقِيُّ وَغَيْرُهُ هَكَذَا وَبَعْضُهُ فِي الصَّحِيْحَيْنِ.

Daripada Ibnu Abbas radhiallahu-anhuma, bahawasanya Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Andaikata dilayankan setiap orang dengan tuntutannya, nescaya ada orang yang menunutut harta benda orang lain, ada pula yang menunutut darahnya. Akan tetapi yang menunutut itu harus membawa saksi, manakala yang memungkiri harus bersumpah – Hadis hasan, diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan lain-lain lagi demikian lafaznya. Dalam Sahihain, lafaznya lain lagi.


Muqaddimah

Dalam dunia ini ada orang yang baik dan ada orang yang jahat. Ada yang amanat dan ada yang khianat. Ada yang lurus dan ada yang bengkok. Dan seterusnya. Pendekata setiap orang yang bersifat sesuatu, pasti ada yang lain yang bersifat lawannya. Itu sudah menjadi sifat semulajadi makhluk Allah di muka bumi ini.
Dalam pada itu, tidak mustahil jika ada orang baik tetapi khianat, manakala yang jahat, tetapi amanat. Atau ada yang baik, tetapi perjalannanya bengkok, suka menipu oarng, suka menagburi mata oarang, mankala yang jahat pula ada kalanya berlaku lurus dan bertimbangrasa.
Sebab itulah, setiap negara harus mengadakan undang-undang untuk menghukum sesiapa yang bersalah, supaya kesalahan itu dapat dikekang dan disekat dari merebak kepada orang lain. Apabila hukum itu dijatuhkan, rakyat jelata akan merasa puas. Yang dianiaya merasa perkaranya telah pun diadili dengan saksama, kerana ia merasa puas bahawa orang yang menzaliminya itu tidak terlepas begitu sahaja bermaharajalela melakukan sesuatu. Selain itu hukuman itu ada faedahnya, kerana ia akan menimbulkan keinsafandalam dirinya, kelak ia akan mencuba lagi. Juga akan menimbulkan keinsafan dalam diri orang lain supaya jangan berani mencuba.
Dalam pada itu masih ada juga yang berani melanggar undang-undang, padahal undang-undang itu sering memerangkap dan menyebabkan mereka menaggung hukuman berat itu. Namun demikian orang yang membuat salah itu tetap masih ada dimana-mana saja. Mereka biasanya bijak dan pintar berbicara. Mereka mengemukakan dakwaan secara teratur dan tersusun, sehingga mampu memikat hati pendengar. Maka tanpa ragu-ragu lagi, pihak yang sepatutnya akan membuat keputusan yang salah.
Sebagai dasar untuk selanjutnya, hendaklah anda meminta saksi dari orang yang mendakwa serta menyuruh mengangkat sumpah atas orang yang mungkir.



HURAIANNYA:
Perawi Hadis ini, Abdullah bin Abbas lebih terkenal dengan nama Ibnu Abbas saja. Beliau adalah salah seorang perawi Hadis yang terulung, yang banyak meriwayatkan Hadis-Hadis dari Rasulullah s.a.w.
Dalam hadis ini, Ibnu Abbas telah meriwayatkan dari Rasulullah s.a.w. seperti berikut sabdanya:

Andaikata dilayankan setiap orang dengan tuntutannya, nescaya ada orang yang menunutut harta benda orang lain, ada pula yang menunutut darahnya.

Memang dalam hukum Islam,tiap-tiap dakwaan itu mestilah dibuktikan dengan hujah-hujah yang kuat, sehingga meyakinkan para hakim bahawa dakwaan yang dikemukakan itu ada asasnya yang boleh dipertimbangkan. Kemudian hujah-hujah itu harus disampaikan oleh para saksi, sehingga apa yang didakwa itu dapat diyakinkan kebenarannya. Sebab saksi dalam Islam itu bukan hanya menyampaikan sesuatu untuk menguatkan dakwaan pendakwa, malah lebih dari itu. Para saksi yang berdusta itu amat berat dosanya dan diancam dengan seksa yang amat berat sekali. Lantaran itu jika saksi tidak benar, maka seolah-olahnya dialah yang telah menjatuhkan hukuman yang salah itu ke atas orang yang dituduh; iaitu lawan pendakwa.
Andaikata pendakwa tidak dapat membawa saksi yang bakal mendukung dakwaannya, maka barulah dibenarkan orang yang dituduh itu bersumpah menafikan dakwaan itu. Jika ia enggan bersumpah, maka sabitlah jenayah atau tuduhan itu atas dirinya. Hakim boleh menjatuhkan hukuman yang setimpal ke atas dirinya.
Itulah maksud Hadis yang berikutnya: Akan tetapi yang menuntut itu harus membawa saksi, manakala yang memungkiri harus bersumpah.
Oleh itu jelaslah bahawa tiap-tiap dakwaan itu harus dibuktikan oleh saksi, kerana tanpa saksi dakwaan itu belum boleh disabitkan. Andaikata pendakwa tidak dapat membawa saksi, maka yang dituduh harus bersumpah menafikan dakwaan itu. Dengan bersumpahnya yang tertuduh, maka dakwaan yang tidak disertakan saksi itu menjadi tidak berguna sama sekali. Ia ditolak atas dasar kurangnya bukti.
Kata Imam Nawawi: Si pendakwa itu dituntut membawa saksinya, kerana ia telah mendakwa sesuatu yang berlawanan dengan zahirnya, yakni menimbulkan suatu tuduhan. Padahal perkara yang asal ialah tiadanya tuduhan.
Kemudian yang dituduh pula memberikan kesempatan untuk bersumpah menafikan tuduhan itu, yang mana dengan berbuat demikian, bererti ia telah menolak tuduhan dan mendakwa dirinya bersih dari tuduhan.
Dalam membicarakan perkara ini seterusnya, Imam Nawawi telah mengecualikan beberapa masalah, yang mana pendakwa boleh diakui dakwaannya tanpa perlu saksi lagi; iaitu dalam perkara-perkara yang tiada diketahui kebenarannya, melainkan diri pendakwa itu sendiri yang mengetahuinya. Masalah-masalah itu antara lain:

1) Dakwaan seorang ayah yang berhajat untuk berkahwin lagi.
2) Dakwaan seorang safih (ditahan hartanya) hendak berkahwin, kerana tidak sanggup hidup membujang.
3) Dakwaan seorang khuntsa (pondan) bahawa dirinya lelaki atau perempuan.
4) Dakwaan anak muda sudah cukup umur dengan keluar air mani.
5) Dakwaan seorang kerabat tidak punya harta, supaya dibenarkan ia mengambil nafkah.
6) Dakwaan seorang yang berhutang tidak mempunyai wang untuk membayar hutang.
7) Dakwaan seorang perempuan yang beriddah bahawa iddahnya telah genap, sama ada dengan mengaku atau beranak.
8) Dakwaan seorang perempuan bahawa ia telah bersih dari haidh, atau sudah ditalakkan.
9) Dakwaan penyimpan amanah, bahawa amanah yang disimpannya telah lesap, atau dicuri orang, atau sebagainya.
10) Dakwaan orang yang dituduh tidak sembahyang, bahawa ia bersembahyang di rumahnya.
11) Dakwaan orang yang telah wajib keluar zakat, bahawa ia telah pun mengeluarkan zakatnya, melainkan jika kaum fakir miskin menafikannya.





MENGAPA PENDAKWA MEMBAWA SAKSI???

Pendakwa harus membawa saksi, ada hikmatnya. Jika dilayani setiap tuntutan hanya dengan hujah-hujah yang kosong saja, sudah tentu terlalu mudah orang akan membuat tuntutan. Apatah lagi, jika semua tuntutan itu akan diakui dan dipenuhi, nescaya dunia ini akan dikuasai oleh pengaruh-pengaruh yang salah, dan jenayah akan terus merebak di mana-mana.
Pengadilan negara akan menjadi porakperanda kerana terlampau banyak tuntutan orang yang dihadapkan kepadanya. Keamanan akan terhapus. Semua orang akan hidup dalam kebimbangan dan ketakutan. Undang-undang akan menjadi permainan di tangan orang jahat.
Sebab itulah, maka Islam telah menetapkan bahawa sebarang dakwaan yang dihadapkan kepada pengadilan negara itu harus membawa bersamanya bukti-bukti yang jelas dan hujah-hujah yang benar, lengkap dengan satu saksi atau beberapa saksi yang akan menguatkan tuduhan itu. Pada anggapan pengadilan Islam, tuduhan itu tetap dikira kosong, selagi tidak ada bersamanya saksi dan hujah-hujah yang kuat.
Andaikata pendakwa tidak dapat membawa saksi, sedangkan ia tetap juga menuduh. Orang yang dituduh pula harus membuktikan tuduhan itu palsu. Sebab bukan semua pendakwa mempunyai saksi atau dapat membawa saksi. Jadi untuk memuaskan hati pendakwa, harus diadakan satu cara untuk membersihkan orang yang dituduh.
Jadi untuk mengelakkan kezaliman dan penganiayaan berlaku dengan diakui oleh pengadilan negara, maka yang dituduh itu harus membela dirinya. Bagaimana ia dapat membela diri sedangkan padanya tidak ada sebarang bukti?? Itulah disyariatkan supaya ia bersumpah. Bersumpah menolak tuduhan itu dan mengakui dakwaan itu adalah palsu. Ketika itu barulah ia dibebaskan dari dakwaan itu. Jika ia enggan bersumpah, beerti benarlah dakwaan pendakwa tadi, dan ia harus dihukum.


MENGAPA YANG DITUDUH HARUS BERSUMPAH???

Pendakwa dapat memelihara haknya dengan membawa saksi dan membuktikan kebenaran apa yang dituntutnya itu. Tetapi yang terdakwa di hadapannya tidak ada jalan lain, melainkan bersumpah menafikan dakwaan pendakwa itu.
Bersumpah pula bukan sebarangan boleh dilakukan, kerana sumpah ini menggunakan nama Allah, yang seolah-olahnya orang yang bersumpah itu telah menjadikan Allah s.w.t. itu sebagai saksinya dalam sumpah itu. Apa yang akan berlaku kiranya ia telah berdusta? Dalam dustanya ia cuba mengelirukan pengadilan dengan menggunakan nama Allah s.w.t. tentulah berat sekali.
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda dalam hal ini, katanya:

مَنْ حَلفَ عَلى يَمِيْنِ صَبْرٍ يَقْتَطِعُ بِهِ مَالَ امْرِئٍ مُسْلِمٍ هُوَ فِيْهَا فاَجِرٌ لَقِيَ اللهَ وَهُوَ عَلَيْهِ غَضْبَانُ

”Barangsiapa bersumpah sumpah sabar untuk menipu hak seseorang Muslim padahal ia berdusta, maka (di Hari Kiamat) ia akan bertemu dengan Allah sedang Allah murka terhadapnya.”

Dinamakan sumpah sabar atau sumpah ghamus, kerana ia telah menahan yang empunya hak dari haknya, yakni dengan ia bersumpah itu, maka tertolaklah dakwaan pendakwa, seolah-olah sumpah itu telah menahan hak yang dituntut dalam dakwaan itu, sama ada benar mahupun dusta.
Hadis tersebut mengancam orang yang bersumpah palsu itu dengan balasan masuk ke dalam neraka. Lantaran itu hendaklah kita fikirkan sebaiknya sebelum memberanikan diri untuk bersumpah palsu. Kerana dengan bersumpah palsu itu, seolah-olah kita telah mengubahhukuman Allah yang adil kepada hukuman yang batil.
Para Hakim juga dianjurkan agar mengingatkan orang yang mahu bersumpah itu akan akibat sumpahnya jka dusta. Diingatkannya akan kemurkaan Allah Taa’la ke atasnya, jika ia berdusta. Diingatkannya akan Hadis-Hadis Nabi s.a.w. yang mengancam dengan balasan masuk neraka, jika ia berbohong. Sesudah diperingatkan semua itu, barulah dipinta daripadanya untuk bersumpah, dan sesudah itu barulah hukuman dijatuhkan bahawa orang yang tertuduh tidak bersalah, kerana pendakwa tidak punya saksi.
Andaikata yang tertuduh itu enggan pula bersumpah tanpa sebab tertentu (barangkali kerana sumpah itu dibenci agama meskipun atas dasar kebenaran) ataupun barangkali tuduhan itu memang benar, maka dalam hal ini,hendaklah dipinta dari pendakwa untuk bersumpah, agar dakwaannya itu diterima dan disahkan oleh pengadil negara, lalu dijatuhkan hukuman.


SAKSI PALSU

Ketahuilah bersaksi dusta itu termasuk perkara dosa besar. Sekali peristiwa Nabi pernah ditanya tentang bagaimana harus menunaikan penyaksian atas sesuatu perkara. Maka baginda menjawab penanyanya: Anda lihat matahari itu? Jawabnya: Benar, ya Rasulullah! Ujar baginda lagi: Hendaklah bersaksi, sama seperti melihat matahari itu. Kalau tidak jangan lakukan!
Al-Hafiz az-Zahabi r.a. berkata: Orang yang bersaksi dusta itu, sekaligus telah melakukan beberapa dosa besar, antaranya:
Pertama: Bersaksi dusta, sedang Allah telah berfirman di dalam Al-Quran melarang yang demikian, (maksudnya): Sesungguhnya Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang yang boros dan dusta (al-mu’min:28).
Kedua: Menganiaya orang yang disaksikan ke atasnya, hingga dengan penyaksiannya itu, oarng akan terdakwa akan dirampas hartanya, barangnya atau nyawanya.
Ketiga: Menganiaya orang yang diberikan saksi kepadanya, yang membolehkan ia merampas hak orang lain secara haram, kerana tanpa penyaksian itu tentulah ia tidak boleh mendapat hak yang dirampasnya itu.
Keempat: seolah-olah ia telah mengharuskan apa yang telah diharamkan olah Allah s.w.t. dan telah melanggar perintah yang menganjurkan supaya memelihara harta, darah dan harta benda orang.
Nyatalah keempat-empat perkara ini boleh menjerumuskan manusia ke dalam api neraka, kerana terlampau berat dosa yang ditanggung.
Sabda Rasulullah s.a.w.:

مَنْ قُضِيَ لَهُ مِنْ مَالِ أَخِيْهِ بِغَيْرِ حَقٍّ فَلاَ يَأْخُذْهُ فَإِنَّمَا أَقْطَعُ لَهُ قِطْعَةً مِنَ النَّارِ

”Sesiapa yang diberikan hak saudaranya (oleh pengadilan) tanpa hak, maka janganlah ia menerimanya. Sebenarnya itu samalah seperti menempah satu tempat dalam neraka”.
Awaslah kamu dari bersaksi dusta, kerana dosanya amat besar. Jangan anda terpengaruh dengan matabenda dunia, kerana sering berlaku seseorang itu akan bersaksi apa saja, apabila menerima upah sesuatu. Betapa besar pun upahan yang diterimanya di dunia, lebih besar lagi dosa dan balasan yang bakal diterimanya di akhirat.
Dalam menegah saksi palsu, Islam tidak kira penyaksian itu atas Muslim atau non-Muslim, malah larangannya sama dan dosanya sama sahaja. Kerana Islam itu adalah agama yang menyamaratakan semua rakyatnya dalam soal pengadilan sosial.


RENUNGAN...

Hidup di dunia ini tidak putus dari perselisihan, dan perselisihan itu haruslah dihadapkan kepada pengadilan negara untuk diadili sejalan dengan perintah Allah dan RasulNya.
Akan tetapi di antara orang yang mengemukakan perkaranya itu tidak kurang ada yang bijak berbicara,ada yang pintar menegakkan hujah, ada yang mengemukakan tuduhan yang dusta, dan ada yang menuntut dakwaan yang batil. Pengadilan negara harus ada cara-cara yang tertentu untuk mengadili perkara-perkara yang dihadapkan kepadanya.
Apakah pengadilan negara harus berpihak kepada orang yang pintar mengemukakan hujahnya? Ataukah kepada yang bijak berbicara? Ataupun kepada yang pandai bertikam lidah? Kepada siapa?
Apakah pengadilan negara harus menjatuhkan hukuman semata-mata dengan melihat pada lahirnya perkara yang diadili itu, tanpa memikirkan fakta-fakta yang lain? Atau bagaimana? Itu semua tentulah tidak harus berlaku dalam pengadilan Islam. Tidak sama sekali!!!
Yang ditujukan hanya mudah dan simpel saja. Ada tuduhan mesti ada bukti. Ada bukti mestilah ada saksi yang menguatkannya. Tanpa saksi tuduhan itu belum boleh dipertimbangkan, kecuali jika yang terdakwa mengakui kebenaran tuduhan itu. Tetapi jika ia menolak dan memungkirinya, maka hendaklah ia dipinta bersumpah menafikan dan menolak dakwaan itu. Dengan bersumpah,maka bebaslah ia dari tuduhan itu. Jika ia enggan bersumpah, kerana sesuatu sebab atau yang lain, maka hendaklah pendakwa bersumpah menguatkan kebenaran tuduhannya itu. Selepas itu, barulah dijatuhkan hukumannya.
Bila menjadi saksi, hendaklah atas dasar yang benar, dan jangan berdusta. Begitu juga, bila bersumpah, hendaklah yang benar, dan jangan berbohong. Kedua-dua perkara itu telah ditunjukkan cara-caranya oleh Hadis ini. Sebaliknya, Hadis ini telah mengancam pula kedua-dua saksi dan orang yang bersumpah, bila ia berbohong atau berdusta, akan ditimpakan ke atasnya balasan yang berat di akhirat kelak, iaitu masuk ke dalam api neraka!!!